Selamat Datang Ke Blog Kami. Pihak kami membenarkan bahan-bahan di dalam blog ini di guna pakai dalam bidang pelajaran Silalah "share".

Sunday 18 May 2014

Congkak

Permainan congkak merupakan sejenis permainan Melayu tradisional yang digemari oleh kaum wanita dan kanak-kanak. Congkak juga dikenali sebagai permainan Anjung. Matlamat permainan congkak adalah untuk mengumpul biji congkak terbanyak dan giliran menapak akhir. Nama "congkak" dipercayai berasal dari perkataan Bahasa Melayu "congak" yang bermaksud pengiraan mental. Selain orang Melayu, keturunan peranakan India dan Baba Melaka turut meminati permainan Congkak




PEMAIN : 
Permainan ini memerlukan dua orang pemain dalam satu masa.


ALATAN PERMAINAN :
Alatan yang digunakan dalam permainan ini adalah papan congkak dan buah congkak (cakak). Gelanggang permainan adalah sebuah papan congkak yang mengandungi “sekampung” iaitu 5, 7, 8 atau 9 biji guli ke dalam “Rumah Anak”. Tiap-tiap Rumah Anak perlu diisi cakak (biji guli). Terdapat dua lubang besar di setiap hujung papan congkak. Lubang ini dipanggil "Rumah Ibu".

Kadang-kadang sebagai ganti papan congkak, lubang-lubangnya dibuat di atas tanah. Sementara biji-biji congkak pula ialah guli-guli kaca, buah getah, biji saga, batu-batu kecil dan sebagainya. Setiap papan congkak hanya boleh dimainkan oleh dua orang sahaja.


MASA PERMAINAN : 
Permainan bergantung kepada kecekapan pemain untuk mengawal perjalanan bagi mengumpul sebanyak mungkin buah guli (cakak) ke dalam “Rumah Ibu”.


LOKASI BERMAIN : 
Permainan dimainkan di dalam rumah atau di anjung rumah.


CARA BERMAIN:
1. Dua orang pemain duduk berhadapan menghadap papan congkak, dimulakan dengan kedua-dua pemain serentak mencapai buah di kampung masing-masing dan memasukkan buah satu demi satu di dalam lubang kampung dengan pergerakan dari kanan ke kiri hingga ke rumah dan kampung lawan.

2. Gerakan diteruskan hingga buah yang terakhir pada tangan dimasukkan dalam kampung kosong di kawasan sendiri atau lawan dan pemain hendaklah berhenti, sekiranya buah itu jatuh atau mati di kampung sendiri. Pemain itu boleh menembak kampung lawan yang setentang dengan kampungnya iaitu mengaut kesemua buah (jika ada) di dalam kampung tersebut, hanya selepas membuat satu pusingan.

3. Pihak lawan mengambil giliran meneruskan permainan hingga buahnya mati. Sekiranya buah terakhir jatuh di dalam rumah sendiri, pemain boleh meneruskan permainan dengan mengambil buah yang masih banyak di mana-mana kampung sendiri. Sekiranya buah terakhir jatuh di kampung kosong pihak lawan, maka permainan itu mati di situ sahaja dan pihak lawan boleh memulakan permainan seterusnya hingga mati.

4. Sekiranya tidak terdapat sebarang buah di kampung pemain sungguhpun giliran berada dipihaknya, maka giliran untuk menggerakkan buah akan berpindah kepada pihak lawan.

5. Setelah tamat pusingan pertama, setiap pemain mengisi semula kampung dengan buah congkak dan jika ada kampung yang tidak cukup buah, ia dianggap 'terbakar'. Kampung ini tidak boleh diisi apabila bermain pada pusingan yang kedua, ketiga dan seterusnya hingga pihak lawan mengaku kalah.


Di akhir permainan, buah congkak dikira dari rumah masing-masing. Pemenang adalah yang memiliki buah congkak terbanyak. Sekiranya jumlah buah congkak sama banyak, maka pemain dengan jumlah kampung terbakar terbanyak dikira kalah.









9 comments :